Kaedah Taḥrīrāt al-Ḍabbā‘: Analisis Terhadap Faktor dan Pendekatan Pemilihan Kaedah Bacaan Uṣūl dalam Taḥrīrāt Matn al-Shāṭibiyyah
Main Article Content
Abstract
Abstrak
Taḥrῑrāt Matn al-Shāṭibiyyah adalah satu proses penelitian oleh para sarjana Ilmu Qirā’āt terhadap kaedah-kaedah bacaan yang terdapat dalam Matn al-Shāṭibiyyah. Jika dilihat kepada beberapa karya Taḥrῑrāt al-Shāṭibiyyah, khususnya taḥrῑrāt oleh ‘Alī bin Muḥammad al-Ḍabbā‘ menerusi karyanya Mukhtaṣar Bulūgh al-Umniyyah, terdapat kaedah bacaan pada beberapa kalimah uṣūl qirā’āt bercanggah dengan kaedah bacaan dalam Matn al-Shāṭibiyyah. Penulisan ini bertujuan menganalisis kalimah-kalimah yang mempunyai percanggahan bagi melihat faktor yang mempengaruhi Taḥrῑrāt al-Ḍabbā‘ dalam pemilihan kaedah bacaan dari sudut status kedudukan ṭarīq (jalur) periwayatan kalimah-kalimah tersebut dalam Matn al-Shāṭibiyyah dan kitab asalnya iaitu al-Taysīr karya Abū ‘Amr al-Dānī. Kajian ini juga cuba mengenalpasti pendekatan Taḥrῑrāt al-Ḍabbā‘ dalam menjustifikasikan percanggahan kalimah-kalimah tersebut, sama ada berpendekatan berpegang secara keseluruhan atau sebahagian fakta-fakta daripada al-Taysīr, al-Nashr dan karya-karya syarahan Matn al-Shāṭibiyyah. Metodologi kajian ini melibatkan proses pengumpulan data berkait status kedudukan ṭarīq periwayatan setiap kalimah yang dikumpulkan daripada tiga sumber iaitu karya al-Taysīr, al-Nashr dan karya-karya syarahan Matn al-Shāṭibiyyah. Hasil kajian mendapati tiga faktor, iaitu Taḥrῑrāt al-Ḍabbā‘ menolak kaedah bacaan yang lemah, berbeza dari ṭarīq Matn al-Shāṭibiyyah dan berbeza dari ṭarīq al-Taysīr. Kajian juga mendapati lima pendekatan yang digunakan melibatkan sandaran fakta daripada karya-karya utama iaitu al-Taysīr, al-Nashr dan karya-karya syarahan Matn al-Shāṭibiyyah. Penulisan ini secara langsung memperlihatkan kualiti kaedah bacaan dalam Taḥrῑrāt al-Ḍabbā‘ dan diharapkan memberi impak sebagai data yang menyokong penggunaan taḥrῑrāt al-Shāṭibiyyah dalam pembacaan qirā’āt.